Monday 27 November 2017

4 PERMATA SMKJ AKAN MENAMATKAN PERKHIDMATAN

19 Nov.2017 - Pada tarikh tersebut, majlis khas diadakan untuk 4 guru SMKJ yang bakal bersara pada tahun ini. Majlis tersebut diadakan di Dewan Sri Jitra 1 dan melibatkan semua murid dan guru. Guru yang bakal bersara tersebut ialah Puan Hajah Sawiyah bt. Ismail, Puan Rohana bt. Karim, Puan Hajah Saudah bt. Hassan dan Puan Nurisah bt. Ahmad. Semasa majlis itu berjalan, keempat-empat guru tersebut dijemput untuk menceritakan pengalaman mereka dalam dunia pendidikan yang diceburi. Guru-guru tersebut amat sedih untuk meninggalkan sekolah dan murid-murid yang disayangi memandangkan sejarah perkhidmatan di SMK Jitra amat panjang, terutamanya buat Puan Sawiyah iaitu selama 30 tahun.  Murid-murid juga turut sebak melepaskan guru kesayangan mereka dan semua warga SMKJ mendoakan kesejahteraan semua guru. Sesi penyampaian hadiah turut diadakan pada penghujung majlis sebagai penghargaan daripada pihak SMKJ kepada guru-guru yang telah berjasa tersebut. "Selamat bersara cikgu, di mana-manapun cikgu berada, panggilan keramat "cikgu" tetap terpahat, menjadi kenangan sepanjang hayat".
PN. NURISAH AHMAD

PN. ROHANA KARIM

PN. SAWIYAH ISMAIL

PN. SAUDAH HASSAN

Saturday 18 November 2017

LAKARAN PENUTUP KEJAYAAN 2017: TAHNIAH CIKGU NORROSNI

18 Nov. 2017- Tarikh keramat ini menyaksikan seorang pendidik dari SMK Jitra telah mencipta sejarah apabila berjaya memegang Phd. Beliau ialah Puan Norrosni bt. Shaari iaitu kaunselor SMK Jitra. Anugerah tersebut adalah bersempena Majlis Konvokesyen UUM kali ke-30 yang bermula pada 18 November hingga 22 Nov. 2017. Puan Norrosni merupakan graduan UUM dalam Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan Kepujian (First Class). Kejayaan tersebut menyebabkan beliau menerima Anugerah Pingat Emas Timbalan Naib Canselor UUM dan mendapat laluan terus melanjutkan pelajaran ke tahap Kedoktoran (Phd.) dalam bidang yang sama. Beliau berharap kejayaan beliau menjadi pendorong semua pelajar SMK Jitra mencipta kejayaan yang lebih gemilang. Beliau telah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu dan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. TAHNIAH CIKGU, KEJAYAANMU KEBANGGAAN KAMI SEMUA.

Friday 17 November 2017

PROGRAM LAWATAN KE TAMAN NEGERI PERLIS - Nabil

15-16 Nov. 2017- Pelajar- pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 4 SMK Jitra telah mengikuti suatu program berteraskan kelestarian alam di Perlis. Program tersebut ialah Program Keutuhan Integriti ke arah Kegemilangan Pasukan Badan Beruniform SMK Jitra 2017 dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negeri Kedah. Program ini ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan negeri Kedah melalui Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negeri Kedah. Program diserikan dengan kehadiran Penolong Pengarah Encik Mohd Afiq bin Azizi yang juga merupakan bekas pelajar SMK Jitra pada tahun 2000 hingga 2004. Banyak tempat menarik yang dilawati seperti Gua Kelam, Taman Negeri Perlis dan Gua Wang Burma. Malangnya, Gua Kelam ditutup akibat daripada aliran air yang sangat deras akibat hujan lebat yang berlarutan. Kesemua pelajar menetap di asrama yang disediakan Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, Perlis Indera Kayangan. Pada malam tersebut, satu ceramah motivasi telah disampaikan oleh Encik Afiq dengan harapan memastikan para pelajar bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan pada masa hadapan. Keesokan harinya, para pelajar dan guru pengiring meneroka Gua Wang Burma yang telah wujud beratus juta tahun dahulu. Pengalaman tersebut merupakan satu memori yang akan sentiasa tersemat di dalam hati pelajar. Diharapkan banyak lagi aktiviti sebegini akan diadakan untuk mendedahkan pelajar kepada alam sekitar.

Antara pelajar yang terlibat.

Antara pelajar yang terlibat.

Gua Kelam.

Monday 13 November 2017

AMALI SEMBELIHAN TINGKATAN 4 - NISAH

12 NOV 2017 - Baru baru ini , SMK Jitra telah mengadakan amali sembelihan bagi pelajar tingkatan 4. Amali sembelihan berlangsung pada jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Bagi menjayakan amali tersebut , para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diberi tiga ekor ayam untuk disembelih. Seterusnya , amali ini berakhir dengan jamuan berlaukan ayam yang disembelih oleh pelajar.

Berharap aktiviti sebegini dapat dijalankan lagi bagi melahirkan pelajar yang proaktif dalam semua bidang.




Saturday 4 November 2017

PERTANDINGAN PENULISAN ESEI BAHASA TAMIL PERINGKAT KEBANGSAAN ANJURAN PENGGUNA 2017 - Azim

4.11.2017 - Penyampaian hadiah Pertandingan Penulisan Esei B.Tamil peringkat kebangsaan telah disempurnakan sebagai majlis penutup anjuran Pengguna di MAEPS, Selangor. Wakil dari sekolah SMK Jitra, Sreeram Naidu A/L Renganathan dari kelas 2 cemerlang telah merangkul tempat kedua dalam kategori B iaitu menengah rendah(tingkatan 1-3) dalam pertandingan penulisan esei B.Tamil. Tahniah diucapkan atas kejayaan mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan.

Friday 3 November 2017

MAJLIS BACAAN YASSIN CALON SPM DAN STPM - NABIL

2.11.2017 - Untuk memudahkan perjuangan pelajar SMK Jitra yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM, satu majlis bacaan yassin telah diadakan di Dewan Ibnu Sina. Pelajar yang terlibat juga diarahkan untuk menjemput ibu bapa mereka agar majlis tersebut lebih diberkati. Diharapkan calon-calon SPM dan STPM dapat menjawab soalan-soalan dengan penuh semangat dan teliti. Semoga dengan bacaan Yassin ini dapat mengurangkan tekanan yang bakal dihadapi mereka.





MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN BAKERS 2024

[ 21 April 2024 ] Bertempat di Dewan Ibnu Sina, SMK Jitra telah berlangsungnya Majlis Watikah Pelantikan Bakers 2024. Semoga para bakers SMK...