Wednesday 15 October 2014

217 CALON PT3 SMK JITRA MELANGKAH KE DEWAN

13 Oktober 2014 - Bukan sahaja menjadi sejarah kepada negara, malah menjadi sejarah peribadi kepada 217 orang calon PT3 sekolah kita telah terlibat dalam peperiksaan tersebut. Walaupun hanya ditadbir oleh pihak sekolah, namun segala prosedur peperiksaan awam dipatuhi oleh pihak sekolah.

Pada hari pertama, Bahasa Melayu menjadi kertas pembuka tirai PT3. Debaran disambung dengan mata pelajaran Matematik. Pelbagai ragam pelajar telah dirakamkan sebelum dan selepas menghadapi peperiksaan. Peperiksaan akan ditutup dengan mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab pada 16 Oktober 2014.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN

PT3 - SEJARAH NEGARA - PETIKAN BERITA RTM

 
Kuala Lumpur - Sebanyak 453,413 calon menduduki Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang julung kali diadakan di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara, bermula hari ini hingga Khamis (16 Okt).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, ujian bertulis bagi peperiksaan yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu meliputi 12 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam.

Mata pelajaran selebihnya ialah Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Punjabi.

"Pengurusan dan pemeriksaan skrip jawapan calon bagi Ujian Bertulis PT3 adalah di bawah tanggungjawab pengetua sekolah.

"Bagaimanapun, Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri akan menjalankan moderasi pemeriksaaan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan skor calon," menurut kenyataan itu.

Pelaporan pencapaian murid bagi PT3 diberikan dalam bentuk Gred A, B, C, D, E dan F.

PT3 dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 6 hingga 29 Ogos dan ujian bertulis dari 13 hingga 16 Okt.

HARI KOKURIKULUM DAN MALAM ANUGERAH KLUSTER KETERAMPILAN 2014

27 September 2014-  Semua warga SMK Jitra telah membanjiri Medan Ilmu bersempena Hari Kokurikulum. Pelbagai gerai jualan mula beroperasi pada awal pagi sehingga petang. Antara barangan yang dijual termasuklah makanan dan minuman, pelbagai aksesori wanita, dan pakaian.

Turut mengambil bahagian ialah institusi-institusi pengajian tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Cabutan bertuah memeriahkan suasana di samping pertandingan yang diadakan secara terbuka di kantin sekolah. Pertandingan yang paling menarik perhatian ialah Karaoke Nasyid dan Lagu-lagu Patriotik dan juga Pertandingan Memasak Tanpa Dapur.

Pada malam harinya pula diadakan majlis penyampaian anugerah kepada agensi. guru dan pelajar yang mempunyai pencapaian tertinggi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Tarikh 27 September benar- benar meraikan sumbangan warga SMK Jitra dalam meningkatkan prestasi sekolah ke arah memartabatkan pendidikan bertaraf dunia.

MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN BAKERS 2024

[ 21 April 2024 ] Bertempat di Dewan Ibnu Sina, SMK Jitra telah berlangsungnya Majlis Watikah Pelantikan Bakers 2024. Semoga para bakers SMK...