20/10/2011 - Hari Anugerah dan Karnival Kokurikulum telah berlangsung pada hari Khamis dengan meriahnya. Hari anugerah ini telah dirasmikan oleh Tn. Haji Mohammad Abd. Hamid, Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan dari Jabatan Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman. Pelbagai jenis makanan dan minuman dijual di gerai jualan yang dikendalikan oleh persatuan-persatuan dan unit pakaian seragam SMK Jitra. Persembahan daripada pasukan Wushu dan Silat Gayong sekolah turut memukau semua penonton. Pada masa yang sama penyampaian anugerah kokurikulum kepada penerima anugerah yang aktif pada tahun ini diadakan di Dewan Ibnu Sina. Terdapat pelbagai gerai jualan yang diwakili oleh kelab-kelab dan persatuan SMK Jitra, pameran daripada agensi-agensi luar juga turut diadakan seperti Pameran Komputer, Helo, Maybank dan kraftangan. Syabas kepada semua yang menjayakan Hari Anugerah dan Karnival Kokurikulum dan semoga pada tahun hadapan, majlis ini akan berjalan dengan lebih meriah.
Thursday 20 October 2011
Saturday 15 October 2011
Merdeka Raya SMK Jitra...
15 September 2011 - SMK Jitra telah mengadakan jamuan sempena Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia. Para pelajar dan guru kelihatan bergaya dengan mengenakan baju raya bewarna-warni...pertama kalinya SMK Jitra kelihatan penuh dengan warna-warna...Pengetua turut tidak melepaskan peluang bergaya sempena hari ni.Beliau mengenakan baju melayu berwarna peach dan bersamping....
satu Malaysia...
berbaju melayu,bersongkok dan bersampin.. ;)
Wednesday 14 September 2011
Amali Haji
10 September 2011 - SMK Jitra dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan program Amali Haji untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendekatan kepada para pelajar mengenai perkara-perkara yang mesti dilakukan dalam melaksanakan ibadah Haji yang merupakan Rukun Islam yang ke-5.Program bermula seawal 8 pagi.Seramai 27 orang fasilitator dari kalangan pelajar Tingkatan 5 ditugaskan bagi melicinkan perjalanan program ini.
Niat di miqat
Wukuf
Melontar
Tawaf
Sai'e
Thursday 25 August 2011
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Bila Syawal menjelma,
Sayup kedengaran takbir bergema,
Dipanjatkan doa pada Ilahi,
Agar lebaran ini lebih diberkati.
Mengait kuih di atas para,
Suasana riang di hari raya,
Bermaaf-maafan riang gembira.
Syawal menjelma xlama lagi. Maaf zahir dan batin buat semua warga SMK Jitra daripada editor Buletin SMK Jitra....
p/s : jom pakat p raya rmah Pengetua..hehe
Monday 1 August 2011
Selamat Menunaikan Ibadah Puasa
Bulan Ramadhan telah datang menjelang,
Sebuah kesempatan untuk meraih magfirah-Nya,
Mari bersihkan hati untuk menyambut Ramadhan nan suci,
Mohon dimaafkan atas segala salah dan khilaf,
Serta janji yang terabaikan...
Monday 18 July 2011
Karnival Sekolah Kluster Kecemerlangan Berjaya Mencapai Matlamat
15 -17 Julai 2011-Karnival Sekolah Kluster Kecemerlangan Zon Utara 2011 telah diadakan di Dewan Sekolah Menengah Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang. Majlis dirasmikan oleh Tn. Hj. Rosland bin Hussien.17 sekolah dari bahagian utara telah menyertai program ini. Antara objektif progam adalah memberi peluang kepada murid-murid untuk membina sikap berani, bertanggungjawab dan berketrampilan selain memotivasi SKK untuk meningkatkan keupayaan dengan mengambil bahagian dalam pertandingan. Di samping itu, memberi peluang kepada sekolah untuk memperkenalkan kebitaraan akademik dan kokurikulum sekolah masing-masing serta menggalakkan kecemerlangan sekolah tertentu dicontohi oleh sekolah kluster yang sama serta sekolah-sekolah yang lain. Objektif program ini juga adalah menjadi tapak untuk menghebahkan sekolah kluster kepada masyarakat umum di peringkat kebangsaan. Aktiviti-aktiviti yang disediakan dalam program ini adalah Pembentangan Kebitaraan Sekolah, Persembahan Kebitaraan Kebudayaan, Pameran Kebitaraan Sekolah Kluster Kecemerlangan, Persembahan Kebitaraan Kokurikulum, Pemeran Kebitaraan Memanah dan Lompat Tali.
Saturday 16 July 2011
Kem Pengawas Melahirkan Pemimpin Berketrampilan
Pada 14 dan 15 Julai yang lalu, seramai 85 orang pelajar terdiri daripada pengawas sekolah dan pengawas asrama telah menyertai Kem Kepimpinan Pengawas yang diadakan di Universiti Utara Malaysia. Kem tersebut telah dianjurkan oleh Kelab Kaunseling dan Badan Pengawas SMK Jitra. Kem tersebut turut disertai oleh 5 orang guru pengiring. Tujuan kem tersebut diadakan adalah untuk membina jati diri dan menonjolkan sifat kepimpinan dalam diri pelajar. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti sukan lasak iaitu flying fox, night trekking dan jungle trekking. Kem tersebut diharap dapat menyuntik semangat pelajar agar mempunyai sifat kepimpinan dan disiplin yang tinggi dalam diri seorang pengawas yang berwibawa.
Friday 15 July 2011
‘1Untuk Semua, Semua Untuk 1’ Menjana Koperasi Berkualiti
14 Julai 2011 - Baru-baru ini, sebuah pertandingan pidato telah dianjurkan oleh pihak koperasi yang diadakan di MRSM Kubang Pasu. SMK Jitra telah menghantar dua peserta dalam pertandingan tersebut iaitu Syahir Ridzuan b. Ahmad Shafiai, dari kelas 4 Opal dan Nurlaily Nasuha bt. Ridhuan, dari kelas 4 Jade. Sekolah-sekolah daerah Kubang Pasu yang lain juga turut menghantar wakil bagi menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan. Pihak koperasi juga turut menganjurkan pertandingan nasyid dan kuiz. Acara yang dilangsungkan berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan daripada pihak yang terlibat.
Thursday 14 July 2011
Juara Rakyat Melahirkan Pemimpin Berintegriti
12 dan 13 Julai– Pidato ilmu Juara Rakyat 1 Malaysia telah berlangsung di Dewan Jitra. Pertandingan ini diadakan mengikut dua kategori utama iaitu pertandingan pidato bagi Sekolah Rendah dan juga peringkat Sekolah Menengah. Bagi pertandingn pidato peringkat Sekolah Menengah , sebanyak 12 buah sekolah yang menyertai pertandingan ini termasuk Smk Jitra. Apabila kemenangan diumumkan, SMK Jitra yang diwakili oleh Syahir Ridzuan Bin Ahmad Shafiai dari kelas 4 Opal berjaya menggondol tempat ke-3 dalam pertandingan tersebut. Tahniah atas kejayaan yang berjaya diraih.
Friday 8 July 2011
SMK Jitra Tampil Cemerlang Dalam Kokurikulum
7 Julai 2011- Kejohanan Balapan dan Padang SMK Jitra kali ke-43 telah dilangsungkan di Padang Sekolah SMK Jitra. Majlis telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Fauzi B. Abd Hamid, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu. Majlis dimulakan dengan perbarisan dan kontinjen rumah-rumah sukan dan barisan unit beruniform sekolah. Antara acara yang dipertandingkan pada hari tersebut adalah larian 4x100M dan tarik tali di samping acara-acara lain yang diadakan pada saringan-saringan sebelumnya iaitu merejam lembing, lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru, larian 1500M terbuka, lompat kijang, lempar cakera, larian 800M, larian 4x400M,larian 200M, 400M dan 100M. Majlis juga diserikan lagi dengan persembahan silat gayung dan wusyu.Johan keseluruhan dimenangi oleh Rumah Delima dengan berjaya mendapat 17 pingat emas di samping mengumpul mata berjumlah 170 manakala bagi pertandingan hiasan rumah sukan tercantik berjaya disandang oleh Rumah Zamrud. Selain itu, Rumah Mutiara berjaya memenangi pertandingan kawad kaki bagi kategori rumah sukan dan bagi kategori unit beruniform pula dimenangi oleh KRS Puteri. Pemenang Olahragawan dan Olahragawti Sekolah telah berjaya direbut oleh Mohd Syafiq Aizat (Rumah Mutiara) dan Nur Farah Bt. Saifuddin (Rumah Baiduri). Tahniah kepada para pemenang!
Thursday 7 July 2011
Guru Pembimbing Anak Watan Tercinta
6 Julai 2011– Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kubang Pasu telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Pejabat Pentadbiran, Daerah Kubang Pasu. Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara sebagai tema Hari Guru pada tahun 2011. Majlis turut dirasmikan oleh Yang Berusaha, En. Mansor Bin Lat, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah. Beberapa guru dari SMK Jitra telah mendapat anugerah dalam majlis gilang-gemilang ini. Antaranya adalah Pn. Ng. Hun Chong (Anugerah Kepimpinan Pendidikan), En. Azizan B. Othman (Anugerah Guru Inovatif Individu 2010), Pn. Raja Sharifah Bt. Raja Ismail dan Pn. Zahariah Bt. Darus (Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan 2010), dan Pn. Nor Rahimah Bt. Zakaria (Anugerah Khas Kecemerlangan-Johan Pertandingan Menulis Cerita Kanak-kanak Peringkat Negeri). SMK Jitra juga mendapat Anugerah Pencapaian Cemerlang Akademik 2010-Sekolah Harian Biasa bagi peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sekalung penghargaan kepada guru-guru yang telah banyak menabur bakti.
Sunday 3 July 2011
1 Murid 1 Sukan Membentuk
Pada 2 Julai 2011 yang lepas, Program Larian Serentak, 1 Murid 1 Sukan telah diadakan di SMK Jitra. Program anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia itu turut disertai oleh semua sekolah di seluruh Malaysia secara serentak. Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk melaksanakan setiap pelajar aktif dalam sukan dan permainan. Setiap pelajar perlu menyertai sekurang-kurangnya satu sukan. Selepas larian 1 Murid 1 Sukan selesai, semua pelajar telah berkumpul di Stadium Mini sekolah dan gelanggang– gelanggang untuk bermain permainan seperti sepak raga, bola keranjang, bola tampar dan bola jarring. Setelah selesai permainan, semua pelajar berkumpul di Dewan Ibnu Sina untuk mendengar taklimat berkaitan 1 Murid 1 Sukan dan menyanyikan lagu 1 Murid 1 Sukan sebagai penamat program. Majlis berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan dari pelbagai pihak.
Monday 27 June 2011
HARI KOPERASI SEKOLAH 2011
26 Jun 2011 – Hari Koperasi Peringkat Sekolah telah dilancarkan dengan jayanya di Dewan Ibnu Sina. Pelancaran yang bertemakan “Satu untuk Semua, Semua untuk Satu” ini diserikan dengan gimik pelancaran apabila belon-belon dilepaskan dari atas pentas. Tuan Pengetua merasmikan hari pelancaran ini dengan menanam sebatang pokok. Pelbagai acara diadakan sempena pelancaran tersebut, antaranya Kuiz Koperasi, dan Mencipta T-Shirt Sekolah. Anugerah Koperator Sekolah turut diberikan kepada Pn. Cheong Kim Chu bagi kategori guru dan Nor Aaidaa bt. Abd. Mutalib bagi kategori pelajar.
Thursday 23 June 2011
22 JUN TARIKH KERAMAT, DRAMA BAHASA INGGERIS
22 Jun 2011 – SMK Jitra telah menjadi tuan rumah Pertandingan Drama Bahasa Inggeris Peringkat Daerah. Pertandingan ini berjaya mencungkil bakat pelajar dalam lakonan di samping memberikan pendedahan kepada pelajar dalam bidang teater. Aisya Shahira bt. Rosli telah muncul sebagai Pelakon Terbaik. Pertandingan peringkat negeri telah diadakan pada 28 Jun 2011 di SM Keat Hwa 2. Walaupun kemunculan SMK Jitra pada peringkat negeri merupakan kemunculan pertama, namun kita tetap berbangga apabila kita muncul tempat kelima.
22 JUN TARIKH KERAMAT, PARLIMEN MENJADI PANAS
22 Jun 2011 – Ternyata kehadiran lima orang ahli parlimen dari SMK Jitra telah memanaskan kerusi English Parliamentary Style Debate Competition 2011 yang telah diadakan di SMK Tanjung Puteri, Kuala Ketil. Pertandingan ini merupakan pertandingan peringkat negeri setelah SMK Jitra berjaya muncul johan pada peringkat daerah. Sekolah kita telah berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandngan peringkat negeri tersebut. Gaya pemimpin-pemimpin kecil ini telah membayangkan pemimpin tersohor pada masa akan datang.
22 JUN TARIKH KERAMAT, TIGA PUTERI MELAKAR SEJARAH
22 Jun 2011 – Tiga puteri SMK Jitra telah berjaya melakar sejarah Kuiz Geografi Peringkat Daerah dengan muncul Johan pada 13 April 2011 yang lalu. Pada 22 Jun pula, pasukan sekolah ini telah berjaya merangkul Naib Johan Peringkat Negeri apabila Kuiz Geografi ini diadakan di SMK Dato’ Syed Omar, Alor Setar. Tahniah buat Wan Shafiqah bt. Wan Rithauddin, Hanan Khaleeda bt. Fisol dan Nur Aireen Syahirah bt. Azhar. Semoga kejayaan ini menjadi pendorong untuk terus berjaya dalam pelajaran.
Friday 17 June 2011
SMJ MENGGEGAR PENTAS PUBLIC SPEAKING
16 Jun 2011 – Ragupathi a/l Anggapan telah melakar sejarah sebagai Johan Pertandingan Public Speaking Peringkat Daerah. Pertandingan tersebut telah diadakan di SMK Megat Dewa dengan penyertaan sekolah-sekolah menengah dalam daerah Kubang Pasu. Syabas.
Thursday 16 June 2011
FOTOGRAFI MEGA
14 – 15 Jun 2011 - Satu sesi fotografi mega bertempat di Medan Ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra. Semua persatuan,kelab permainan,badan beruniform, rumah sukan,serta para pelajar Tingkatan 3,5,dan Pra Universiti diminta untuk berkumpul bagi sesi fotografi untuk dimuatkan di dalam majalah sekolah. Semua sesi
tersebut telah berjalan dengan lancar di bawah kerjasama ahli sidang redaksi sekolah.
tersebut telah berjalan dengan lancar di bawah kerjasama ahli sidang redaksi sekolah.
Monday 6 June 2011
HARI INI DALAM SEJARAH
5 JUN 2011 — Hari ini genap setahun ALUMRA (ALUMNI SMK JITRA) ditubuhkan. Dato’ Profesor Ir. Dr. Azhari b. Md Salleh merupakan Presiden Alumra yang pertama. Perasmian telah diadakan di Dewan Ibnu Sina dan dirasmikan oleh Tn. Hj. Shahidan b. Abd. Rahman, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah ketika itu.
Friday 27 May 2011
PIDATO DAN FORUM REMAJA DAERAH
25 - 26 Mei 2011 – Pertandingan Forum Remaja Peringkat Daerah telah diadakan di SMK Tanjung Pauh manakala Pertandingan Pidato Piala Diraja turut berlangsung dalam bulan Mei di SMK Hosba. SMKJ masing-masing memperoleh tempat ketiga bagi Forum Remaja, manakala tempat kedua bagi Pertandingan Pidato. Usaha lagi.
Tuesday 17 May 2011
TERIMA KASIH CIKGU!
16 Mei 2011 – Sambutan Hari guru pada hari ini mendapat sambutan hangat daripada seluruh warga SMK Jitra. Guru Menjana Transformasi Negara sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Majlis yang dilangsungkan di Dewan Ibnu Sina ini, telah melibatkan semua guru dan pelajar. Sambutan hari ini memberi kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pihak pentadbir diarak dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi ke hadapan Dewan Ibnu Sina kemudian mereka disambut oleh pasukan Seni Silat Gayung Malaysia. Tuan Haji Abu Seman bin Sareh Md Isa telah merasmikan sambutan Hari Guru pada kali ini dengan jayanya.majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku oleh para pelajar dan guru dengan penuh semangat. Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan persembahan lagu Guru Malaysia daripada semua guru.Terpancar riak kegembiraan di wajah setiap insan yang bergelar guru tatkala mempersembahkan nyanyian tersebut. Pada kemuncak perhimpunan, pihak pentadbir sekolah membaca perutusan khas sempena Hari Guru. Pelbagai acara direncanakan dalam sambutan kali ini antaranya pertandingan bola tampar antara guru lelaki SMK Jitra dan juga dengan pihak PPD. Seterusnya, acara memotong kek bersempena sambutan Hari Guru pada kali ini. Majlis diakihiri dengan jamuan ringan buat para guru yang dikasihi.
Friday 13 May 2011
BANJIR ‘NET BOOK’
12 Mei 2011 - Pelajar-pelajar SMKJ yang layak telah menerima ‘net book’ tajaan kerajaan Malaysia. Penyerahan ini telah diadakan mengikut kawasan parlimen masing-masing. Objektif penyerahan ini adalah supaya para pelajar tidak tersisih dalam arus globalisasi yang melanda dunia pada hari ini. Semoga para pelajar dapat memanfaatkan teknologi ini ke arah yang betul dan membantu mereka dalam proses pembelajaran.
Wednesday 11 May 2011
SENT OFF PUAN JAMILAH
10 Mei 2011 — Puan Jamilah bt. Ahmad,PK Kokurikulum telah dinaikkan pangkat sebagai PK Hal Ehwal Murid di SMK Tanjung Pauh. Puan Jamilah telah diraikan di Dewan Ibnu Sina oleh semua guru dan pelajar. Menurut beliau, SMK Jitra merupakan sekolah yang amat dicintainya memandangkan di sini, bakat memimpinnya telah diasah dan beliau kagum dengan pelajar-pelajar sekolah ini yang amat mencintai ilmu. Walau bagaimanapun, demi perkhidmatannya, beliau menyahut jawatan sebagai PK HEM. Beliau begitu berharap agar dapat kembali berkhidmat di SMK Jitra. Jawatan beliau sebagai PK Kokurikulum telah diambil alih oleh Tn. Hj. Abdullah b. Md Ali. Selamat maju jaya buat Puan Jamilah bt. Ahmad dan Tn. Hj. Abdullah b. Md Ali.
Friday 6 May 2011
JAYA WARIS TINGKATAN 5
5 Mei 2011 – Para waris bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 akhirnya berjaya membincangkan masalah pembelajaran anak-anak mereka bersama para guru. Jaya waris Tingkatan 5 merupakan aktiviti tahunan sekolah untuk memberi ruang kepada pihak sekolah dan waris mencapai kata sepakat bagi mencapai kejayaan murid. Banyak permasalahan telah terungkai dan memberikan manfaat yang banyak kepada kedua-dua pihak demi kegemilangan SPM yang kian mendatang.
Tuesday 3 May 2011
SAWADDI
2 Mei 2011 – Pelajar-pelajar dari Universiti Prince of Songkla telah tiba di sekolah kita untuk lawatan sambil belajar. SMKJ merupakan lokasi utama pihak universiti jika kunjungan ke Malaysia diadakan. Jalinan antara kedua-dua pihak akan mengeratkan semangat muhibah antara kedua-dua buah negara Rombongan disambut meriah oleh para pentadbir dan diberikan penerangan tentang perkembangan dan kejayaan sekolah.
Thursday 28 April 2011
ANUGERAH GEMILANG MELAHIRKAN PELAJAR BERMUTU
27 April 2011 - Majlis Anugerah Gemilang telah berlangsung dengan jayanya dan penuh gilang-gemilang. Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Asmee bin Tajudin, ketua sektor akademik Jabatan Pelajaran Kedah Darul Aman. Pada majlis tersebut Tuan Haji Asmee telah merakamkan ucapan sekalung penghargaan kepada pihak sekolah kerana telah berjaya dalam aspek kemendalian murid. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada guru-guru dan pelajar yang telah berjaya menerima anugerah pada hari tersebut. Peranavaruvini a/p Kunasekaran telah dinobatkan sebagai Tokoh Gemilang atas kejayaanya dalam bidang akademik dan ko-akademik manakala anugerah Permata Budi pula Tuan Haji Che Mat bin Man.
Saturday 23 April 2011
KEJOHANAN CATUR MENJULANG NAMA SMKJ
Kejohanan Catur MSSD Kubang Pasu telah berlangsung pada 21 April yang lalu bertempat di SMK Megat Dewa. SMK Jitra sekali lagi menempa nama apabila wakil sekolah iaitu Khairul Fikri b Mohd Rodzi telah menjadi johan bagi kategori 18 tahun lelaki. Namun begitu, seorang lagi wakil SMK Jitra iaitu Ameer Azizi b Jusoh hanya memperoleh tempat ketiga dalam kejohanan tersebut. Bagi kategori 18 tahun perempuan, Izyan Syahirah bt Redzuan telah memperoleh tempat ketiga manakala Yarsheny a/p Sugumara memperoleh tempat kelima. Untuk kategori 15 tahun lelaki dan perempuan masing-masing memperoleh tempat kelima. Tahniah kepada para pemenang yang telah mengharumkan nama sekolah terutamanya Khairul Fikri b Mohd Rodzi yang telah terpilih untuk mewakili daerah Kubang Pasu ke pertandingan peringkat negeri yang akan berlangsung di Langkawi pada 28 hingga 30 April 2011.
Friday 22 April 2011
PASUKAN SOFBOL MENGORAK LANGKAH MENCIPTA NAMA
Pada 19 hingga 21 April, pasukan sofbol SMK Jitra telah menyertai Kejohanan Sofbol MSSD Kubang Pasu di SMK Changlun. Pasukan sofbol SMK Jitra telah dibawa ke SMK Changlun bersama dua orang guru pengiring iaitu Cik Aida Shafina dan Encik Sharizan. Pasukan sofbol lelaki telah menyandang tempat ketiga dalam kejohanan tersebut manakala pasukan sofbol perempuan pula telah menjadi Naib Johan bagi Kejohanan Sofbol MSSD Kubang Pasu. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.
Monday 18 April 2011
SMKJ DISERANG LAGI!!
Tanggal 16 April 2011 yang lalu, sekolah kita telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Bola Tampar MSSM peringkat negeri Kedah 2011. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Abdul Rahim b. Ahmad iaitu Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu. Dalam kejohanan ini, johan bagi kategori 12 tahun perempuan dan johan bagi kategori 12 tahun lelaki telah disandang oleh pasukan yang sama iaitu pasukan Kota Setar. Bagi kategori 18 tahun perempuan pula, johan telah dimenangi oleh pasukan Kuala Muda-Yan. Manakala, johan bagi kategori 18 tahun lelaki telah menjadi milik pasukan Bandar Baharu/Kulim. Tahniah kepada semua pasukan yang berjaya.
Thursday 14 April 2011
AADK BERJAYA MENYUNTIK KESAN POSITIF
13 April 2011 - SMK Jitra telah mengundang penceramah iaitu dari Agensi Anti-Dadah Kebangsaan untuk memberi ceramah tentang dadah yang kian menular dan membarah dalam masyarakat kini. Sepanjang ceramah yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina, penceramah telah menjelaskan bahaya dadah dan kesan daripada penggunaan dadah secara berlebihan dalam kehidupan manusia. AADK juga telah menjalankan ujian air kencing (urine test) bagi para pelajar lelaki. Hasil ujian air kencing telah memberi impak yang baik kerana disahkan semua pelajar terhindar daripada mengambil dadah yang berbahaya.
Sunday 10 April 2011
BAIDURI PENUH BERBISA
9 April 2011 - SMK Jitra telah mengadakan kejohanan merentas alam bagi tahun 2011. Semua guru dan pelajar dikehendaki berkumpul di padang sekolah dan diberi taklimat. Sebelum itu, acara senam robik telah diadakan untuk memanaskan badan. Acara merentas alam ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu 15L,15P,18L dan 18P. Johan keseluruhan bagi merentas alam telah disandang oleh rumah sukan Baiduri manakala naib johan disandang oleh rumah sukan Nilam dan tempat ketiga dimenangi oleh rumah Zamrud. Kejohanan Merentas Alam diakhiri oleh upacara penyampaian hadiah dan perasmian penutup di Dewan Ibnu Sina. Terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Kejohanan Merentas Alam pada tahun ini.
Tuesday 5 April 2011
BAHAS ALA PARLIMEN MENCAPAI KEGEMILANGAN
3 - 4 April 2011 - Pertandingan Bahas Ala Parlimen telah diadakan di SMK Hosba peringkat daerah Kubang Pasu. Pertandingan diadakan sebanyak tiga pusingan. Pertandingan ini disertai oleh sekolah seantero Kubang Pasu. Tempat ketiga disandang oleh SMK Seri Mahawangsa dan SMK Bandar Baru Sintok. Tempat kedua disandang oleh SMK Pulau Nyior manakala SMK Jitra telah menjadi johan bagi bahas ala parlimen peringkat daerah. Pembahas terbaik disandang oleh Shahir Ridzuan b. Ahmad Shafiai dari kelas 4 Opal. Tahniah diucapkan!!!
Sunday 3 April 2011
MAJLIS TADARUS AL QURAN DI PUNCAK KEJAYAAN
2 Apri 2011 - Majlis Tadarus al-Quran peringkat daerah telah diadakan di SMK Ayer Hitam dengan jayanya. Pelbagai pertandingan telah diadakan seperti pertandingan hafazan, nasyid dan syarahan bagi kategori lelaki dan perempuan. Peserta dari SMK Jitra iaitu Firzan Hanif b. Abd Manap dari kelas 3 Cemerlang telah berjaya mendapat tempat ketiga bagi pertandingan hafazan manakala syarahan daripada kategori perempuan, iaitu Siti Khodijah bt. Zakaria dari kelas 5 Opal bejaya menjadi johan di peringkat daerah. Syarahan dari kategori lelaki pula, iaitu Muhammad Asyraf Wajdi b. Zakaria dari kelas 4 Opal mendapat naib johan peringkat daerah. Bagi pertandingan nasyid, SMK Jitra telah berjaya menjadi naib johan. Diharapkan kejayaan yang diperoleh ini dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih baik pada masa hadapan.
Wednesday 30 March 2011
WUSHU
Pada 25 Mac lalu, SMK Jitra telah menghantar 2 orang wakil menyertai Pelangi Junior Wushu Championship di Leisure Mall, Johor Bahru bersama sifu mereka iaitu Sifu Yang Chin Cheong. Pertandingan tersebut telah berlangsung selama lima hari. Dalam kejohanan tersebut, wakil SMK Jitra iaitu Lee Shi yeng dari kelas 4 Diamond telah menyandang tempat kedua kategori senjata bawah 17 tahun manakala Lim Jia Shin dari kelas 1 Pintar turut menyandang tempat kedua kategori senjata bawah 15 tahun. Kejayaan ini telah menjadi pendorong kepada mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Thursday 24 March 2011
KEPUTUSAN SPM'10
23 Mac 2011 – Seramai 12 daripada 286 orang pelajar SMK Jitra yang menduduki telah mendapat keputusan semua ‘A’ dalam SPM 2010. Peratus lulus yang dicapai ialah 100% dengan gred purata keseluruhan adalah 3.16. Peratusan lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil adalah 87.5%. Gred purata bagi Bahasa Melayu adalah 0.96 diikuti Bahasa Inggeris, 2.82, Sejarah, 2.04, Matematik, 1.53 dan Pendidikan Islam, 2.13. bagi subjek tambahan pula seperti Prinsip Perakaunan, Geografi, ICT dan Pendidikan Seni masing-masing mencatatkan gred purata sebanyak 1.68, 1.46, 2.71 dan 1.36.
Thursday 17 March 2011
KEM ARIF BICARA MENGASAH BAKAT PELAJAR
12-14 Mac 2011 – Kem ini telah dirasmikan oleh pengetua SMK Jitra iaitu Tuan Haji Abu Seman Bin Sareh Md Isa di makmal computer blok Kristal. Seramai 45 orang pelajar yang menyertai kem tersebut diiringi 6 orang guru. Objektif kem adalah untuk mencari bakat-bakat yang ada dalam kalangan pelajar serta mencari pelajar yang berbakat dalam bahas untuk mewakili sekolah hingga mencapai kejayaan dalam beberapa Pertandingan Bahasa Melayu yang diaturkan beberapa hari saja lagi. Kem tersebut oleh Encik Sabri. Ramai antara bilangan pelajar yang berbakat dalam bidang pantun, pidato, debat dan bahas.
Sunday 6 March 2011
KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG (MSSK) PERINGKAT DAERAH
20 Februari - 5 Mac - Kejohanan Balapan dan Padang telah diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Suasana di stadium sungguh meriah. Sekolah kita telah merangkul 4 emas, 5 perak dan 2 gangsa. Ini merupakan kejayaan yang membanggakan. Salah seorang daripada atlet kita, Kamarulzaman telah mendapat pingat emas peringkat negeri dan mewakili negeri Kedah ke Sarawak.
Friday 25 February 2011
PROGRAM LAWATAN KE KOLEJ MATRIKULASI KEDAH
24 Februari 2011 - Pelajar dari kelas 4 Diamond dan dua orang guru pengiring telah menyertai satu lawatan ke Kolej Matrikulasi Kedah di Changlun, Kedah. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menarik minat para pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke kolej matrikulasi. Turut sertaa ialah pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah lain seperti SMK Mahawangsa, SMK Bandar Baru Sintok, MRSM Kubang Pasu dan banyak lagi. Para pelajar didedahkan dengan pameran-pameran berkaitan hala tuju selepas SPM. Majlis ini telah diserikan lagi dengan kehadiran YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merasmikan majlis tersebut.
Tuesday 22 February 2011
STPM: MENGGAPAI MENARA
21 Februari 2011 – Keputusan STPM telah diumumkan. Majlis diadakan di bilik serbaguna SMK Jitra dan telah dilancarkan oleh pengetua sekolah iaitu Tuan Haji Abu Seman bin Sareh Md. Isa. Seramai 55 calon yang mengambil STPM pada tahun 2010 dan 3 daripadanya telah mendapat keputusan cemelang dalam aliran sains ialah Low Ching Yu dengan CGPA 3.58 manakala dalam aliran sastera, Intan Ellyani bt Shafie dan Ku Nor Syazwani bt Ku Yahya masing-masing mendapat CGPA yang sama iaitu 3.84. peratus kelulusan STPM pada tahun 2010 adalah 100% lulus. GPK pada tahun 2010 pula sedikit menurun kepada 2.44 berbanding pada tahun 2009 iaitu 2.46.
Monday 21 February 2011
CERAMAH BULAN PENCEGAHAN DADAH 2011
20 Februari 2011 - Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Inspektor Mohd Firdaus bin Ismail, selaku Pegawai Serantau SMKJ dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu. Beliau telah memberi info tentang jenis-jenis dadah serta keburukan apabila ketagihan dadah. Beliau juga mengetengahkan beberapa isu semasa yang berlaku kepada pelajar-pelajar masa ini seperti kes kecurian motosikal, buli, peras ugut, dan lain-lain. Ceramah ini turut memberi pendedahan lebih lanjut lagi tentang keburukan najis dadah terhadap kita. Para pelajar diharap dapat mengambil ikhtibar daripada pengalaman yang diceritakan dan menumpukan perhatian terhadap pelajaran serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Friday 18 February 2011
SAMBUTAN SEMPENA HARI MAULIDUR RASUL
17 Februari 2011 - Sempena memperingati kelahiran junjungan nabi Muhammad saw, SMKJ mengadakan perarakan sepanduk dan berselawat. Aktiviti turut diisi dengan bacaan Al-Quran bertaranum, penceritaan riwayat hidup dan alunan nasyid oleh para pelajar. Acara diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Idham Khalil bin Shuib. Seterusnya, majlis dilengkapkan dengan acara kuiz dan pertandingan sepanduk tercantik. Cenderahati turut disampaikan kepada penceramah jemputan sebagai penghargaan. Semoga majlis Sambutan Hari Maulidur Rasul memberi pengetahuan dan penghayatan yang berguna kepada seluruh warga sekolah.
Monday 14 February 2011
INTERNATIONAL VOLLEYBALL TOURNAMENT 2011
12 -13 Februari 2011 - International Volleyball Tournament 2011 telah berlangsung di SMK Jitra yang yang melibatkan perlawanan antara SMK Jitra dengan Phimanphittayasan School dari Satun, Thailand. Selain itu, beberapa buah pasukan jemputan sekitar daerah Kubang Pasu telah dijemput untuk bertanding. Perlawanan ini juga merupakan kunjungan balas Phimanphittayasan School ke SMK Jitra selain bertujuan bertukar fikiran dan maklumat serta perkongsian budaya ilmu antara dua institusi. Ketibaan mereka disambut oleh pengetua SMK Jitra, Tuan Haji Abu Seman bin Sareh Md. Isa serta diiringi oleh guru-guru yang lain. Pasukan SMK Jitra telah membariskan pemain-pemain sekolah yang terdiri daripada pelajar asrama. Diharapkan perlawanan itu dapat memberi peluang kepada pasukan yang bertanding menjalin kerjasama erat, selain melaksanakan perkongsian ilmu dan pengalaman bagi memantapkan lagi corak permainan.
Friday 11 February 2011
LIGA BOLA TAMPAR PRA UNIVERSITI 2011
Pada 10 Mac 2011 telah berlangsungnya Liga Bola Tampar Pra Universiti. Liga ini disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan 6 daripada rumah sukan masing-masing. Acara berlangsung pada jam 8.30 pagi sehingga jam 11.00 pagi. Penolong Kanan Kokurikulum, Pn. Hjh Jamilah bt Ahmad telah menyampaikan hadiah kepada pemenang. Saguhati disandang oleh pasukan dari rumah Baiduri dan Delima. Tempat ketiga pula disandang oleh rumah Mutiara yang diketuai oleh Mohd Ikram Hanif bin Hamid manakala tempat kedua disandang oleh rumah Nilam yang diketuai oleh Mohd Najib bin Che Ani. Dalam liga ini, johan telah disandang oleh pasukan dari rumah Zamrud yang diketuai oleh Saiful Helmi bin Darus.
Monday 7 February 2011
TADARUS AL- QURAN
6 Februari 2011 – SMK Jitra telah mengadakan pertandingan tadarus Al Quran peringkat sekolah di Dewan Ibnu Sina pada pukul 2.30 – 5.00 petang. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk membuat pemilihan peserta yang akan mewakili sekolah. Pertandingan ini telah disertai seorang peserta lelaki daripada tingkatan 1 dan 2. pertandingan ini telah dihakimi oleh Ustaz Rifai’n selaku juri. Majlis ini telah diserikan dengan persembahan penutupan oleh kumpulan nasyid sekolah.
Thursday 20 January 2011
Kursus Pengurusan Fail
29 Januari 2011 bersamaan 24 Safar 1432 pihak sekolah telah menganjurkan Kursus Pengurusan Fail. Majlis ini dirasmikan oleh pengetua Sekolah Menengah Jitra iaitu Tn. Haji Abu Seman b. Sareh Md Isa. Dalam ucapan, beliau menekankan betapa pentingnya aktiviti kokurikulum pada masa ini. Semua pelajar yang mempunyai jawatan Pengerusi, Naib Pengerusi, dan Setiausaha diwajibkan hadir. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan taraf pengurusan fail. Kursus ini diadakan supaya kerja-kerja pengurusan fail semua kelab, persatuan, kelab sukan, dan permainan lebih mudah dan selaras.
Wednesday 5 January 2011
VISI SMK JITRA
Tahun 2010 telahpun melabuhkan tirainya. Banyak kenangan pahit manis telahpun tercipta. Kini, semua pelajar dan guru telah kembali ke sekolah dengan bersemangat walaupun Sekolah Menengah Jitra telah dilanda banjir yang paling teruk dalam sejarah. Kerosakan harta benda dianggarkan melebihi 85%. Sesi 2011 dimulakan seperti biasa dengan visi yang baru iaitu “SMK JITRA CEMERLANG DI PERINGKAT ANTARABANGSA 2015” .Diharapkan pada tahun 2011 ini kita dapat mencipta lebih banyak kejayaan daripada tahun-tahun sebelumnya.
Sunday 2 January 2011
Kejayaan Penutup Tirai 2010
Seorang pelajar sekolah kita telah berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan. Wan Hafidzoh bt. Megat Adnan telah mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Puisi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi kategori 15 - 17 tahun. Pelajar ini mendapat hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 300 beserta sijil. Semoga kejayaan penutup tirai 2010 ini menjadi batu loncatan untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun ini.
Saturday 1 January 2011
SMKJ tampil cemerlang PMR
25 Disember 2010 – Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah diumumkan. Seramai 200 orang calon telah menduduki peperiksaan tersebut dan 117 daripadanya telah mendapat “A” dalam semua mata pelajaran. Pengetua SMKJ berkata, peratus keseluruhan ialah sebanyak 100 %, meningkat daripada tahun sebelumnya. Gred Purata Keseluruhan (GPK) ialah 3.70 berbanding 3.63 tahun lalu menunjukkan peningkatan pencapaian pelajar pada tahun ini. Subjek Bahasa Arab menunjukkan peningkatan kelulusan iaitu tiada calon gagal. SMKJ juga merekodkan 5 orang pelajarnya mendapat 9A.
Subscribe to:
Posts (Atom)
MAJLIS BACAAN YASSIN MEGA DAN KHATAM AL-QURAN KALI PERTAMA TAHUN 2024
[ 21 Mac 2024 ] SMK Jitra telah mengadakan Majlis Bacaan Yassin Mega dan Khatam Al-Quran kali pertama pada tahun 2024. Majlis ini diadakan d...
-
Muhammad Airel Muqrin mewakili SMK JITRA telah berjaya mendapat JOHAN dalam Pertandingan Kemahiran Bola Sepak.Taniah dan Syabas kepada semua...
-
26/1/18 - Pada hari Jumaat yang lalu, pelajar asrama telah mengadakan beberapa aktiviti untuk memenuhi masa terluang mereka. Aktiviti terseb...
-
Nama diberi Suhaimi bin Haris. Dilahirkan pada 30/1/1963. Beliau mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Fizik di Universiti Kebang...