Thursday, 19 October 2017

DEDIKASI UNTUK DIA -( oleh: TN. HJ. KU INSANIZDIHAR B. KU IDRIS)

DEDIKASI UTK DIA...
Kehadirannya dinanti.
Kalibernya ditagih.
Ucapannya membuatkan semua teruja.
Bila dia berjalan, ramai yang terpegun memerhatikan kelibatnya dan karismanya.

Dalam marahnya, ada puji.
Dalam tegurnya, tiada yang terguris hati.
Senyumnya menjadikan hati yang runsing, ceria kembali. Hati yang sedih, berbunga wangi.

Dia bijak berkata-kata,menjadikan kita tidak bosan mendengar celotehnya, walau sudah lama dia bercerita.
Kejayaan demi kejayaan, kami terima semasa dia berada. Kemenangan demi kemenangan dituai, sejak kedatangannya.

Dia umpama nakhoda berani,menongkah kapal kecil kami meredah ombak besar duniawi.
Dia menjadikan kami kenal, siapa diri kami...
Dia menjadikan kami tahu, apa itu harga diri.
Dia menjadikan kami berani untuk berdikari.
Dia membiarkan kami terus berkarya, mencungkil dan mengaplikasi bakat diri. Dia menjadikan kami sedar kami juga mempunyai nilai tersendiri.

Terima kasih kepada dia.
Inilah anugerah Allah untuk kami semua.
Terima kasih Cikgu Rushdan.
Kami doakan dirimu sentiasa bahagia.




Saturday, 14 October 2017

PERSARAAN ENCIK ZAKARIA BIN SAID - NABIL

20.9.2017 - Tarikh tersebut merupakan hari perginya seorang permata yang sangat bernilai untuk SMK Jitra. Encik Zakaria bin Said akhirnya bersara dari SMK Jitra setelah 22 tahun menabur bakti di sini. Beliau mengajar subjek Kemahiran Hidup dan juga merupakan seorang guru disiplin sehingga bersara. Selama 22 tahun beliau tidak pernah jemu memerah keringat mencurahkan ilmu buat para pelajar SMK Jitra. Beliau memilih untuk tidak berpindah dari SMK Jitra sejak 22 tahun lalu kerana rasa sayangnya terhadap suasana di sini. Satu majlis perpisahan telah diadakan pada hari yang penuh dengan kesedihan tersebut. Semua guru dan pelajar hadir didewan Ibnu Sina yang penuh bersejarah untuk mendengar ucapan Cikgu Zakaria buat kali terakhir. Beliau merupakan salah seorang guru yang sangat dikenali di SMK Jitra. Encik Zakaria juga dikenali dengan panggilan 'Pak Ya' dalam kalangan murid dan guru.

Cikgu Zakaria bersama Pengetua SMK Jitra.


Encik Zakaria bin Said memilih opsyen Seni Perusahaan semasa melanjutkan pelajaran. Namun, beliau memilih untuk mengajar subjek Kemahiran Hidup kepada pelajar menengah bawah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3. Cikgu Zakaria merupakan seorang guru disiplin yang tegas demi mendidik pelajar menjadi insan yang berdisiplin dalam hidup. Cikgu Zakaria sangat mementingkan disiplin kerana beliau mengangap ia merupakan satu kunci untuk mendidik pelajar  supaya berjaya. Namun, Cikgu Zakaria menganggap para pelajar seperti anak beliau sendiri kerana beliau sangat mudah didekati oleh para pelajar. Beliau mudah untuk bermesra dengan pelajar lain tanpa memilih kasih. Sebagai tamsilannya, Cikgu Zakaria merupakan seorang guru yang sangat sukar untuk diganti akibat ilmu dan budi bahasanya. Akhir kata, kami warga SMK Jitra mendoakan kesihatan cikgu dan semoga sentiasa murah rezeki.


Cikgu Zakaria memberi ucapan semasa majlis persaraannya.






Tuesday, 10 October 2017

ALLAH LEBIH MENYAYANGINYA.......CG. HAZRIYANI BT. HASHIM DALAM KENANGAN

10/10/2017 - Warga SMK Jitra telah kehilangan seorang guru yang sangat berdedikasi; Puan Hazriyani binti Hashim. Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Allahyarhamah yang mula berkhidmat di SMK Jitra pada 1 Januari 2009 merupakan guru mata pelajaran Sejarah bagi tingkatan 4 dan 5. Allahyarhamah turut merupakan guru yang menguruskan majalah sekolah sehingga tahun 2016.
Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama pasa solih dan solihin, serta diampunkan segala dosa-dosanya. Jenazah allahyarhamah akan dikebumikan selepas solat zohor esok 11/10/2017 di Tanjung Kapur, Jitra. Marilah kita sama-sama sedekahkan al-fatihah untuknya.

Monday, 9 October 2017

SELAMAT MENDUDUKI PT3

8.10.2017 - Seramai 205 calon PT3 SMK Jitra telah mula menduduki peperiksaan tersebut pada awal pagi. Semua pelajar berkumpul di Stadium Mini Kluster dan menerima pesanan daripada para guru. Bacaan doa diketuai Tuan Haji Kuinsanizdihar b. Ku Idris menambahkan semangat pelajar untuk menghadapi peperiksaan.
        Bahasa Melayu merupakan subjek pertama yang diduduki diikuti mata pelajaran Matematik. Semua calon kelihatan tenang dan peperiksaan berjalan lancar.


Tuesday, 3 October 2017

HARI KOKURIKULUM SMK JITRA 2017

9 SEPT 2017 - Hari Kokurikulum yang berlangsung di SMK JITRA telah mendapat sambutan daripada warga sekolah dan orang ramai. Hari tersebut telah disempurnakan oleh Dato' Aminuddin bin Omar. Pelbagai gerai jualan yang diuruskan oleh murid-murid SMK Jitra seperti gerai makanan dan minuman serta jualan kain baju terpakai. Setiap urus niaga melibatkan kupon yang dijual oleh pihak sekolah. Terdapat juga aktiviti menarik yang dianjurkan seperti cabutan bertuah, jualan buku dan derma darah. Selain itu, pertandingan bola sepak 7 sebelah, bola tampar dan bola keranjang telah diadakan di sekitar padang sekolah.
Aktiviti senamrobik yang diadakan pada awal pagi 



Gerai jualan yang terdapat pada hari tersebut

Warga SMK Jitra mengharapkan sambutan ini diadakan lagi pada tahun berikutnya.